Kerjaya filem P._Ramlee

P. Ramlee pada 1960-an.

Beliau mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakannya bermain muzik di kampungnya. Beliau mula mengumpul duit hasil upahan orang dalam usaha untuk membeli sebuah biola. Ketika beliau bersekolah di Japanese Navy School, beliau pernah menjadi ketua dalam satu batalion seramai 150 orang. Apabila pertunjukan pentas diadakan pada setiap malam minggu, beliau seringkali diundang untuk menyanyi beberapa buah lagu. Sistem pendidikan Jepun telah menyebabkan beliau menguasai bahasa Jepun dalam masa yang singkat. Pihak Jepun telah menghantarnya ke merata-rata tempat untuk mengasah kemahirannya.[10]

Selepas selesai menunaikan solat pada waktu malam, beliau berlatih bermain muzik bersama pancaragam Sinaran Bintang Sore. Seterusnya, beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung sebagai pemain biola, penyanyi, dan pencipta lagu. Encik Kamaruddin telah menyedari bakatnya dan menawarkan kelas bermain piano di rumahnya. Oleh kerana beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pengajaran, Normah iaitu anak Encik Kamaruddin telah membawa secawan kopi sebagai galakan.[10]

Beliau mula mencuba nasib dengan menyertai sebuah pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya bahagian utara. Pada tahun 1945, beliau memperoleh tempat ketiga manakala tahun seterusnya, beliau disenaraikan dalam tempat ketiga. Pada tahun 1947, beliau berjaya mendapat tempat pertama sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Sejak dari itu, namanya dan Orkes Teruna Sekampung dikenali ramai di kawasan utara. Kumpulan Rayuan Asmara yang terdiri daripada pelakon-pelakon pentas bangsawan telah mengadakan pertunjukan di Pulau Pinang. Pada ketika itu, beliau berhasrat untuk melihat persembahan tersebut walaupun tidak mempunyai wang. Hasil pendapatan beliau yang diperoleh daripada majlis keramaian dan pertunjukan pentas telah dibelanjakan untuk membeli pakaian. Pernah suatu ketika, beliau terpaksa memakai baju koyak dan menutupnya dengan sehelai kot di sebelah luarnya.[10]

Akhirnya, beliau memberanikan diri dengan memanjat pagar untuk melihat persembahan oleh kumpulan Rayuan Asmara. Kasma Booty menjadi penyanyi dalam kumpulan tersebut dan belum dikenali sebagai pelakon filem. Ahmad C.B. telah berjumpa dengan ketua Orkes Teruna Sekampung dan mencadangkan mereka bergabung dengan kumpulan Rayuan Asmara. Pada suatu pertunjukan hasil gabungan kedua-dua kumpulan, P. Ramlee telah berjumpa dengan Kasma Booty buat kali pertama. P. Ramlee juga mula berkenalan dengan pemain saksofon, Jaafar yang merupakan bapa tiri Kasma Booty. Untuk suatu ketika, beliau tidak lagi berjumpa dengan Kasmy Booty kerana kumpulan Rayuan Asmara sentiasa berpindah dalam mengadakan pertunjukan.[10]

Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur dinyanyikan oleh Puan Sri Saloma selepas kematiannya. Pada 29 Mei 1973, beliau telah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya akibat serangan jantung.

Rujukan

WikiPedia: P._Ramlee http://www.7digital.com/artist/p-ramlee http://www.astroawani.com/berita-hiburan/nafas-bar... http://www.imdb.com/name/nm0708422/ http://www.inspirasimagazine.com/p-ramlee-the-musi... http://ensiklopedia-malaysia.jbdirectory.com/Krono... http://ensiklopedia-malaysia.jbdirectory.com/Malay... http://ensiklopedia-malaysia.jbdirectory.com/Merde... http://www.malaysiakini.com/letters/147582 http://www.malaysiandigest.com/frontpage/29-4-tile... http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/memorial.htm